SEJARAH SEKOLAH

Sejarah Penubuhan Sekolah Kebangsaan Pauh Lima

Sekolah Melayu Pauh Lima telah ditubuhkan  pada tahun 1941. Awal tahun 1942 Jepun  telah memerintah Tanah Melayu, Sekolah Melayu Pauh Lima telah dipindahkan ke kampung Bukit Marak, Bachok lebih kurang 2 km dari tapak sekolah sekarang.

            Di awal tahun 1947 dibangunkan sebuah Sekolah Rakyat di atas tanah yang dipinjamkan oleh arwah Haji Abd. Rahman bin Umat (iaitu tapak Pasar Pauh Lima sekarang). Sekolah yang ditubuhkan ini dikelolakan oleh dua orang guru, dan 74 orang murid dalam 3 kelas. 

            Pada 1.8.1950 sekolah ini telah diambil alih oleh Kerajaan dengan dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan dan dinamakan Sekolah Melayu Pauh Lima.  Semasa ini sekolah ditadbirkan oleh 5 orang guru dan jumlah murid ialah 135 orang dengan 4 kelas iaitu darjah satu, dua, tiga dan empat.  Pada tahun 1953, Jawatankuasa Ibu bapa dan guru telah berusaha mencari wang dan membeli tapak tanah  Lot. No. 1343 seluas 800 D, Lot no. 1342 seluas 510 D, Lot no. 1346 seluas 700 D dan Lot no. 1464 seluas 355 D dengan harga $1,400.00 dan telah didaftarkan sebagai tapak sekolah pada 2.4.1957.

            Sekolah telah didirikan di tapak baru oleh kerajaan dengan separuh bantuan pada awal bulan Mei 1959 dengan belanja $2,800.00 dengan dua buah bangunan 100 x 20 kaki dan 90 x 20 kaki untuk menampung 340 orang murid dengan guru-guru seramai 13 orang. Pada pertengahan  tahun 1967 sebuah bangunan lama sekolah ini dirobohkan dan diganti dengan bangunan baru oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berukuran 190 x 20   kaki dan sebuah kantin dan sederet tandas. Akhir tahun 1968, bangunan tersebut digunakan dengan 6 bilik darjah dan sebuah bilik Guru Besar. Pada masa itu keramaian murid ialah 425 orang dengan 16 orang guru. Pada 19.3.1969 bersamaan 1 Muharram 1389 bangunan itu dibuka dengan rasminya oleh Yang Berhormat Manteri Pelajaran Malaysia iaitu En. Khir bin Johari.

1 comment:

Hyry Mohamed said...

Padang sekolah SKPL adalah tanah arwah datuk saya arwah yussof derauf yang asalnya kebun getah